1.Pastikan anda membeli daripada syarikat insurans/takaful berlesen melalui ejen insurans yang sah.
- Membeli insurans/takaful hayat merupakan satu perkara yang penting sebagai jaminan kewangan untuk keluarga di masa hadapan. Senarai syarikat insurans/takaful berlesen boleh diperolehi di laman web Bank Negara Malaysia dan sekiranya anda perlu maklumat lanjut, hubungi Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) & Malaysian Takaful Association (MTA)
2.Buat perbandingan kadar premium
- Meneliti dan membuat perbandingan kadar premium dan manfaat insurans/takaful daripada beberapa syarikat insurans/takaful. Pastikan anda membuat perbandingan di antara polisi yang serupa kerana tidak semua polisi insurans/takaful mempunyai manfaat yang sama.
3.Fahami skop perlindungan, terma dan syarat polisi
- Pastikan anda memahami semua peruntukan di dalam polisi yang ingin anda beli. Jika perlu, dapatkan penerangan daripada syarikat insurans/takaful. Berhati-hati jika anda dijanjikan bonus atau skala dividen.
4.Elakkan sebarang perlindungan yang tidak perlu
- Jangan rasa tertekan untuk membeli produk-produk yang dipakej sekali yang mungkin mengandungi perlindungan tetap yang tidak diperlukan. Walau bagaimanapun, anda boleh membuat pilihan bagi mendapatkan perlindungan tambahan atau rider dengan premium tambahan yang memberi nilai pulangan yang lebih baik.
5.Pastikan insurans/takaful hayat yang dicadangkan benar-benar sesuai untuk anda
- Semak polisi yang dicadangkan dengan teliti bagi memastikan ia menepati keperluan peribadi anda.
6.Periksa tarikh insurans/takaful anda berkuat kuasa
- Tarikh insurans/takaful anda berkuat kuasa mungkin berbeza daripada tarikh syarikat insurans/takaful anda mengeluarkan polisi itu. Tanya ejen insurans/takaful anda bilakah tarikh polisi anda berkuat kuasa.
7.Isi borang permohonan anda dengan teliti
- Jangan menandatangani cadangan atau borang permohonan kosong. Pastikan semua maklumat di dalam borang cadangan anda lengkap dan tepat bagi mengelakkan kelewatan atau tuntutan ditolak.
8.Pastikan premium dibayar kepada syarikat insurans/takaful
- Pastikan anda membuat pembayaran cek atau kiriman wang kepada syarikat insurans dan bukan kepada ejen insurans dan minta resit selepas pembayaran sebagai bukti pembayaran.
9.Baca polisi anda apabila anda menerimanya
- Anda diberi masa selama 15 hari untuk meneliti kandungan polisi selepas menerimanya. Gunakan peluang ini untuk memastikan polisi itu benar-benar sesuai untuk anda.